Kamis, 01 Maret 2012

Hak-Hak Isteri Selepas Bercerai

Mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami, Allah swt telah menyatakan :
'Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya'.
( Surah at-Talak : 6 )

Demikian Allah memberi panduan mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami. Ini bermakna tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama tetapi juga selepas bercerai dengan isteri.
Hak-Hak Isteri Selepas Bercerai
Seseorang wanita yang diceraikan oleh suaminya boleh membuat beberapa tuntutan atas bekas suaminya di Mahkamah Syariah. Tuntutan-tuntutan itu ialah :
i. Tuntuan Mutaah
Mutaah ialah sejumlah harta di mana suami wajib memberi kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi jika perceraian itu bukan berpunca dari isteri dan bukan kematian suami. Dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat mengenai Mutaah:
' Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) Mutaah menurut yang ma’aruf sebagai suatu kewajiban bagi orang-orang yang bertaqwa'.
(Surah Al-Baqarah : 241)

Dalam ayat yang lain pula Allah swt menyatakan:
'Tidaklah kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka atau sebelum kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka iaitu suami yang senang menurut kemampuannya dan suami yang miskin menurut kemampuannya sebagai pemberian saguhati menurut yang patut lagi menjadi satu kewajiban atas orang-orang yang mahu berbuat kebajikan'.
(Surah Al-Baqarah : 236)

Firman Allah swt :
'Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman kemudian kamu ceraikan mereka sebelum menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang eddah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka dan lepaskan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya'.
(Surah Al-Ahzab : 49)

Mutaah itu boleh sama ada berbentuk pakaian, barang-barang atau wang sesuai dengan keadaan dan kedudukan suami. Islam tidak menetapkan kadar mengenai Mutaah ini. Dasar penetapannya bergantung kepada keredhaan dan persetujuan suami isteri. Walau bagaimanapun, jika kadarnya menjadi pertelingkahan suami isteri, maka Mahkamah Syariah akan memutuskan kadar yang patut berdasarkan kemampuan suami.
Dalam kes Tengku Anum Zaharah lwn Dato Dr. Hussein (1980, Jld.3 J.H.) Peguam bagi pihak menuntut (isteri) telah merujuk kepada kes Hasan bin Ali bin Abi Talib yang mana semasa beliau menjadi khalifah telah menceraikan isterinya dan memberi 10,000 dinar sebagai Mutaah. Peguam iu berhujah pihak yang kena tuntut (suami) seorang yang berkemampuan. Yang Arif Kadi Besar selangor (pada masa itu) telah merujuk surah Al-Ahzab ayat 49 dan memutuskan pihak yang menuntut (isteri) berjaya menuntut Mutaah sebanyak RM25,200 sebagaimana yang dituntutnya.
Apa yang nyata berdasarkan kes ini, walaupun seseorang wanita itu mempunyai pendapatan yang baik, ia tetap menuntut haknya kerana perceraian itu atas kehendak suami.
Dalam Islam pemberian Mutaah ini bertujuan:
Seseorang isteri lazimnya bergantung hidup kepada suami. Oleh itu apabila ada pemberian Mutaah ini, maka bekas isteri bolehlah menggunakannya sebagai modal untk berdikari dan memulakan hidup baru selepas bercerai.
Menghilangkan rasa malu dan prasangka buruk terhadap isteri. Pada kebiasaaannya terdapat anggapan masyarakat bahawa seseorang wanita yang diceraikan kerana ada sesuatu aib pada dirinya. Oleh itu pemberian Mutaah itu bermakna perceraian itu bukan berpunca dari bekas isteri.
Untuk menentukan perceraian itu dibuat secara baik dan sebagai penghargaan suami terhadap isteri atas sumbangan dan peranan yang diberikan oleh isteri.

 
ii. Tututan Nafkah Eddah
Seseorang isteri yang diceraikan oleh suami selepas disetubuhi, wajib bereddah. Hikmah bereddah ialah supaya dalam waktu eddah talak rajie ini, suami dan isteri itu berfikir panjang dan merasa bagaimana pahit getirnya perceraian. Walau bagaimanapun, bagi seseorang isteri yang diceraikan dalam talak rajie berhak mendapat nafkah dengan syarat:
a. Isteri itu diceraikan secara talak rajie (talak yang boleh dirujuk), dalilnya ialah Nabi Muhammad saw bersabda,
'Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya'.
(Riwayat Ahmad dan An-Nasa’i)
Pendapat ini adalah sepakat mazhab empat.

b. Isteri yang hamil yang ditalak dengan talak bain (tidak boleh dirujuk) berhak juga mendapat nafkah sehingga anak itu lahir. Ini berdasarkan firman Allah swt:
'Kalau mereka itu hamil, maka berilah nafkah keapda mereka hingga mereka melahirkan anaknya'.
( Surah At-Talaq: 6)

Fuqaha bersepakat dalam perkara ini di mana perempuan itu berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat tinggal hingga anak itu lahir.
Seseorang isteri yang mengandung sememangnya menghadapi keletihan dan tekanan perasaan memikirkan tentang kesempurnaan bayi kandungannya. Apabila berlaku perceraian kesannya akan menambahkan lagi penderitaan di mana kemungkinan besar memberi kesan kepada kesempurnaan bayi dan menganggu kesihatan si ibu. Oleh itu sebagai langkah untuk mengurangkan tekanan perasaaan dan menjaga kepentingan anak dalam kandungannya maka Islam memutuskan bahawa perempuan hamil walaupun diceraikan secara talak bain berhak juga mendapat nafkah eddah.

c. Perempuan tidak hamil yang diceraikan secara talak bain, tidak berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat kediaman. Ini adalah pendapat Jumhur Fuqaha dengan alasan ketika nabi Muhammada saw mengulas mengenai talak tiga ia menyatakan:
'Tidak ada hak untuknya bagi tempat kediaman dan nafkah'.
(Riwayat Ahmad dan Muslim)

Walau bagaimanapun, menurut Hanafi perempuan dalam kes ini berhak mendapat nafkah kerana Allah swt berfirman:
'Berikanlah mereka itu tempat kediaman sebagaimana tempat kediaman kamu dari kekayaaan kamu'.
(Surah At-Talak : 6)

Menurut Hanafi kehendak ayat ini adalah umum sama ada perempuan itu dalam eddah talak rajie atau talak bain semuanya mendapat nafkah.
d. Isteri yang dalam eddah kerana kematian suami tidak berhak mendapat nafkah eddah meskipun ia dalam kaeadaan hamil. Mengenai perkara ini Nabi Muhammad saw menjelaskan:
'Tidaklah mendapat nafkah bagi perempuan hamil yang kematian suami'.
(Riwayat Darul-Qutni)

Pendapat ini adalah sepakat Fuqaha kerana pada kebiasaaannya seseorang yang diceraikan kerana kematian suami boleh membeuat tuntutan pusaka ke atas harta peninggalan suami dan tanggungjawab suami itu dianggap terhapus.
e. Isteri hendaklah taat dan patuh kepada suami iaitu isteri tidak nusyuz. Menurut kitab Kifayah Al-Akhyar Juz 29 halaman 48 menyatakan:
'Apabila seseorang isteri nusyuz maka gugurlah hak isteri untuk menerima nafkah, pakaian dan giliran'.

Dalam kes Syarifah Sapoyah lwn Wan Alwi (1988 Jld. VI-II J.H.) Yang Arif Kadi Besar Sarawak Awang Pon bin Awang Sebon ketika memutuskan kes itu berhubung dengan tuntutan nafkah eddah menyatakan:
'Menurut Hukum Syarak seseorang isteri yang telah diceraikan oleh suaminya berhak mendapat nafkah eddahnya sekiranya seseorang isteri itu diceraikan dengan talak rajie atau dengan talak bain sedangkan si isteri mengandung dan isteri tersebut tidak melakukan perbuatan yang dianggap nusyuz. Dalilnya ialah:
'Dari Fatimah binti Qais bahawa Rasulullah saw menyatakan hanya perempuan yang berhak mengambil nafkah dan rumah kediaman bekas suaminya apabila suami berhak rujuk kepadanya'.
(Riwayat Ahmad dan An-Nasa’i)

Menurut kitab Al-Fiqhu ‘Ala Mazahib Al-Arba’ah Juzuk 4 karangan Abdul Rahman Al-Jazini menerangkan :
'Isteri yang ditalak rajie wajib mendapat hak nafkah eddah tidak kira sama ada ia merdeka, hamba, mengandung atau tidak mengandung'.

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Noor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978 Jld. 1 J.H.) menyatakan:
'Hak nafkah eddah jika tidak dijelaskan semasa edddah maka ia menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya. Tetapi tempat kediaman jika tidak dituntut semasa dalam eddah maka hak itu terluput', berdasarkan pandangan kitab Kifayah Al-Akhyar Juz 2 halaman 85 ;
'Jika sebahagian atau keseluruhan masa eddah telah berlalu dan isteri (yang diceraikan) tidak menuntut hak tempat tinggal maka gugurlah hak itu dan tidak menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya'.

Ini bermakna seseorang isteri yang diceraikan berhak mendiami tempat tinggal dan mendapatkan nafkah dari bekas suaminya dalam tempoh eddah berdasarkan syarat-syarat di atas.
iii. Tuntutan Hadhanah (Hak Jagaan Anak)
Hadhanah bermakna pemeliharaan anak lelaki atau perempuan yang masih kecil yang belum boleh berdikari, menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya si anak dapat berkembang dan dapat mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya.
Dalam Islam, hukum memelihara anak adalah satu kewajiban ibu bapa kerana si anak memerlukan asuhan dan kasih sayang ketika dalam proses pertumbuhan hidupnya. Persoalan yang timbul ialah siapa yang berhak memelihara dan menjaga anak jika ibu bapa bercerai-berai?
Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar,
'Bahawasanya seseorang perempuan telah datang menemui Rasulullah saw dan bertanya: 'Ya Rasulullah, bahawa anankku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku'. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah saw bersabda,'Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain'.
(Riwayat Abu Daud)

Hadith ini menetapkan bahawa ibu adalah lebih berhak terhadap pemeliharaan anak daripada ayah. Berdasarkan kepada kiasan hadith tersebut ternyata orang perempuan lebih diutamakan tentang hak pemeliharaan anak, kemudiannya barulah diikuti oleh orang lelaki. Islam mengutamakan perempuan dalam hal hadhanah ini kerana ibu lebih sayang kepada anaknya, lebih tahu bagaimana mendidiknya dan lebih sabar dalam mengasuh anaknya daripada ayah. Demikian juga mempunyai masa yang luas berdampingan dan bermanja dengan anak-anak berbanding dengan bapa yang selalu sibuk dengan tugas di luar.
Dalam kes Zawiyah lwn Ruslan (1980 Jld. 1, 2 J.H.) Yang Arif Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes itu menyatakan anak-anak yang belum mumaiyyiz diserah kepada ibunya berdasarkan hujah kitabKifayah Al-Akhyar Juz 2 halaman 93:
'Apabila mencerai seseorang lelaki akan isterinya dan ia mempunyai anak dengan isteri itu maka si isteri berhak memelihara anak itu sehingga anak itu berumur tujuh tahun (mumaiyyiz)'.

Hak hadhanah akan terlucut sekiranya si isteri itu mempunyai salah satu syarat sepertimana berikut:
'Dan syarat-syarat hadhanah itu tujuh perkara iaitu berakal, merdeka, beragama, lemah lembut, amanah, tidak bersuami dan bermukim. Sekiranya kurang salah satu syarat itu maka gugurlah hak hadhanah itu'.

Ini bermakna anak-anak yang belum mumaiyyiz diserah kepada ibunya. Persoalan yang timbul ialah apakah had umur untuk menentukan mumaiyyiz itu? Sebenarnya Fuqaha berselisih pendapat mengenai had umur mumaiyyiz ini. Walau bagaimanapun menurut kebiasaan, bagi lelaki yang telah mencapai umur 7 tahun dianggap mumaiyyiz manakala perempuan pula apabila berumur 9 tahun. Apabila pemeliharaan anak itu dimulai dari ibu maka para Fuqaha mengambil kesimpulan bahawa kerabat dari ibu lebih berhak mengasuh daripada kerabat bapa. Jika ibu hilang kelayakan hak jagaan anak maka anak itu diserah kepada nenek sebelah ibu hingga ke atas (butir-buti penuh lihat lampiran ‘A’).
Dalam kes Rugayah lwn Bujang (1987 Jld. VI, I J.H.) Yang Arif Kadi Besar Wilayah Persekutuan Syeikh Ghazali bin Hj. Abd. Rahman telah memutuskan hak jagaan anak yang mumaiyyiz adalah diberi pilihan kepada anak-anak itu siapakah yang ia mahu sama ada tinggal dengan ibu atau bapa dengan berdasarkan sebuah hadith:
'Bahawa Rasulullah saw telah menyuruh seorang anak yang sudah mumaiyyiz supaya memilih sama ada ibu atau bapa yang dia suka tinggal'.
(Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

'Hendaklah kamu berdua membuang undi tentang anak kamu, maka berkata suami perempuan itu, 'Siapakah yang boleh menentang saya berkenaan anak saya (bererti suami itu tidak bersetuju cara membuang undi)'. Lalu Rasulullah saw menyuruh anak itu memilih antara ibu atau bapa dengan sabdanya: 'Ini bapa engkau dan ini ibu engkau, pilihlah siapa antara kedua-duanya yang engkau suka tinggal bersama'. Maka anak itu pun memilih ibunya dengan memegang tangan ibunya itu. Lalu perempuan itu pun membawa anaknya itu pulang bersama'.
(Riwayat Abu Daud, An-Nasa’i dan Tirmizi)

Dalam hadith yang lain:
'Seorang perempuan datang menemui Rasulullah saw dan bertanya: 'Ya Rasulullah, suamiku hendak membawa anakku, pada hal anakku sudah pandai mencari air untukku ke perigi Abu Inabah'. Rasulullah menjawab: 'Ini ayahmu dan ini ibumu, peganglah tangan ibumu. Kemudian perempuan itu pergi bersama anaknya'.

Ini bermakna anak-anak yang mumaiyyiz diberi pilihan sendiri untuk menentukan siapa penjaganya sama ada ibu atau bapa. Persoalan yang timbul ialah jika anak itu berdiam diri? Menurut kitab Fathul-Muin dalam fasal hadhanah menyatakan anak itu lebih utama diserahkan kepada ibunya.
Berkata Ibnul-Qaiyim: 'Sesungguhnya kita menyerahkan anak kepada bapa atau ibunya adalah bertujuan untuk menjaga kemaslahatan anak. Kalau anak tinggal bersama ibunya maka kemaslahatannya lebih terjamin. Maka anak itu diserahkan kepada ibunya meskipun anak itu memilih bapanya kerana memang pilihan anak itu belum tepat acap kali tersalah pilih. Selanjutnya Ibnul-Qaiyim berkata: 'Aku dengar gutuku berkata: 'Telah berselisih faham dua orang ibu bapa di hadapan hakim tentang siapa yang akan memelihara anaknya. Kemudian hakim menyuruh anak itu supaya memilih antara ibu atau bapanya. Lalu anak itu memilih bapanya. Berkata ibunya kepada hakim:'Cubalah tuan hakim tanya kepada anak itu apa sebabnya anak itu memilih bapanya? Lalu hakim bertanya kepada anak itu. Anak itu menjawab: 'Ibuku menghantarku ke tempat mengaji Al-Quran tiap-tiap hari dan guru-guru acap kali memukulku. Manakala bapaku membiarkanku bermain-main bersama kawan-kawan, sebab itu aku suka tinggal dengan bapaku'. Mendengar demikian, hakim memutuskan untuk menyerahkan anak itu kepada ibunya dengan menyatakan: 'Engkau lebih berhak memelihara anak itu'.
Demikian pandangan Ibnu Qaiyim. Menurut Syed Sabiq dalam kitabnya ýFiqh As-Sunnah Juz 8 halaman 219 menyatakan: 'Sesungguhnya setiap penjaga dan anak jagaan masing-masing mempunyai hak. Akan tetapi hak anak atau kemaslahatan anak lebih penting dari hak penjaganya'.
Berdasarkan maksud Seksyen 84(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, dianggap belum mumaiyyiz bagi kanak-kanak lelaki ialah dari bayi hingga berumur 6 tahun. Manakala kanak-kanak perempuan pula dari bayi hingga berumur 8 tahun. Ini bermakna kanak-kanak lelaki yang telah mencapai umur 7 tahun dan kanak-kanak perempuan yang telah mencapai umur 9 tahun dianggap mumaiyyiz. Walau bagaimanapun dalam Seksyen 84(2) keputusan yang dibuat oleh anak tidak mutlak kerana Mahkamah boleh memerintahkan keputusan yang berlawanan dengan pilihan anak.
Anak Antara Bapa Dan Ibu
Ulama Syafi’iyah berkata: Apabila anak tersebut lelaki dan ia memilih ibunya, anak itu boleh tinggal di tempat ibunya pada malam hari, pada siangnya bapa boleh mengambilnya untuk disekolahkan atau bekerja. Kerana tujuan mengasuh anak adalah untuk kebaikan. Apabila si anak memilih bapanya maka anak tinggal bersama bapanya siang malam tetapi tidak boleh dicegah apabila si anak ingin menjenguk ibunya. Mencegahnya akan menyebabkan si anak derhaka kepada ibunya dan memutuskan hubungan dengan ibunya. Apabila si anak sakit maka ibu lebih berhak untuk merawatnya kerana sakitnya itu menyebabkan si anak seperti anak kecil yang memerlukan layanan, kerana itu si ibu lebih berhak mengasuhnya.
Apabila anak itu perempuan dan ia memilih salah satu antara dua orang tuanya maka ia boleh tinggal di tempat orang tua lain, asalkan tidak terlalu lama. Kerana perceraian antara suami isteri menyebabkan kedua-dua bekas suami isteri itu tidak sesuai untuk berada di satu tempat. Apabila anak perempuan itu sakit maka ibunya lebih berhak merawat di rumahnya. Apabila salah satu orang tuanya sakit sedangkan si anak tidak serumah dengannya maka si anak tidak boleh dicegah untuk menjenguknya atau untuk hadir di tempat orang tuanya yang meninggal dunia.

Bercerai Bersama Anak
Ibnu Qaiyim berkata: 'Apabila salah seorang antara orang tuanya berpergian kerana adanya suatu keperluan, tetapi akan kembali dan lainnya tidak berpergian maka orang yang tidak berpergian lebih berhak mengasuhnya kerana berpergian dengan membawa anak kecil terutama yang masih menyusu akan menyusahkan si anak. Apabila salah seorangnya berpindah untuk menetap di tempat lain sedang tempat yang dituju atau perjalanannya mengkhuatirkan maka orang tua yang mukim lebih berhak mengasuhnya. Apabila perjalanannya aman, ada dua pendapat:
Bahawa asuhan anak itu diserahkan kepada bapa agar bapa dapat tetap mendidik anaknya. Pendapat ini adalah juga pendapat Malik dan Syafi’i. Pendapat ini juga dipraktikkan oleh Qadhi Syuraih.
Bahawa ibunya lebih berhak mengasuh anaknya. Pendapat lain mengatakan bahawa apabila yang pergi itu bapanya maka ibu lebih berhak mengasuhnya. Kalau ibunya pergi ke daerah asalnya maka ibu itulah yang lebih berhak mengasuhnya. Apabila si ibu pergi ke tempat lain maka bapanyalah yang lebih berhak mengasuhnya. Demikianlah pendapat Abu Hanifah.
Pada prinsipnya kita meninjau dan meneliti mana yang paling baik untuk si anak dan lebih bermanfaat, apakah dapat memelihara dan dapat menjaga si anak. Anak itu pergi bersama salah seorang antara kedua-dua orang tuanya ataupun tidak ikut, sama sahaja, asalkan tidak menyebabkan putusnya hubungan anak dengan orang tuanya. Apabila ada maksudnya menyusahkan si anak maka si anak tidak boleh diajak pergi.
Anak Diluar Nikah
Kadangkala juga timbul masalah sepasang suami isteri yang pada asalnya mereka bersekedudukan dan melahirkan anak. Selepas itu mereka kahwin. Apabila berlaku perceraian, anak itu menjadi bahan rebutan. Persoalan yang timbul ialah siapakah yang berhak menjaga anak yang tak sah taraf itu? Menurut Seksyen 85 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan menyatakan:
'Penjagaan kanak-kanak tak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu'.
Ibu itu yang mengandung dan melahirkannya maka ia berhak menjaga dan menafkahkannya. Anak di luar nikah dianggap tidak mempunyai bapa. Oleh itu di luar bidang kuasa lelaki itu untuk membuat tuntutan.

iv. Tututan Nafkah Anak
Dalam Islam hak mendapat kehidupan bagi si anak merupakan hak anak yang tidak boleh diganggu dan disekat. Hak hidup itu juga bererti menjadi kewajiban orang tua memelihara dan memberi bekal ilmu kepada anak sehingga anak itu boleh berdikari. Firman Allah swt:
'Kalau mereka itu (bekas isterimu) menyusukan anakmu maka berilah upah mereka'.
(Surah At-Talak : 6)

Dalam ayat yang lain Allah swt menerangkan:
'Janganlah seseorang itu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang bapa kerana anaknya dan waris pun berkewajiban demikian'.
(Surah Al-Baqarah : 233)

Dari sebuah hadith yang diterangkan oleh Aisyah r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda:
'Hindun pernah bertanya: 'Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian (suami Hindun) seorang lelaki yang sangat bakhil. Ia tidak pernah memberi belanja kepadaku yang dapat mencukupi diriku dan anakku kecuali apa yang aku ambil dari hartanya itu, sedangkan ia tidak mengetahuinya'. Kemudian Rasulullah saw menjawab: 'Ambillah apa yang sekiranya boleh mencukupi dirimu dan anakmu dengan cara yang makruf'.
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan dalil-dalil di atas ternyata seseorang bapa wajib memberi nafkah untuk anak-anaknya dengan syarat:
Bahawa anak itu belum boleh berdikari. Bagi anak perempuan sehingga ia berkahwin atau sehinga ia ada pekerjaan.
Bahawa anak itu miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menafkahkannya.
Bapa itu mampu memberi nafkah.
Apabila anak itu telah baligh dan boleh berdikari maka bapa tidak wajib lagi memberi nafkah untuk anak itu. Begitu juga jika anak itu mempunyai harta sendiri meskipun dia masih kecil maka bapa tidak wajib memberi nafkah kepada anaknya. Pendapat itu adalah sepakat Fuqaha.
Kadangkala terdapat sepasang suami isteri mengambil anak angkat. Persoalan yang timbul ialah kedudukan nafkah anak angkat jika ibu bapa angkat itu bercerai. Yang Arif Pemangku Kadi Besar Wilayah Persekutuan Haji Yahya bin Darus (pada masa itu) ketika memutuskan kes Rokiah lwn Mohamed Idris (1986, Jld. VI, 2 J.H.) menyatakan anak angkat tidak berhak mendapat nafkah dengan alasan firman Allah swt:
'Panggillah nama-nama mereka, anak-anak angkat itu dengan panggilan bapa-bapa mereka itu adalah lebih baik di sisi Allah'.
(Surah Al-Ahzab : 5)

Dengan bertukar binnya itu bererti tidak tertanggunglah ke atas bapa angkat nafkah itu. Walau bagaimanpun dalam kes Rosnah lwn Ibrahim (1979, Jld. 1, 2 J.H.) Yang Arif Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes itu menyatakan anak angkat berhak mendapat nafkah daripada bapa angkatnya selepas perceraian ibu bapa angkat itu kerana anak angkat itu diambil dengan persetujuan ibu bapa angkat itu. Anak angkat itu diambil ketika berumur satu hari.
vi. Tututan Harta Sepencarian
Tuntutan harta sepencarian adalah lebih berdasarkan kepada undang-undang adat Melayu. Oleh kerana prinsip harta sepencarian tidak berlawanan dengan kehendak Syariah Islam maka peruntukan harta sepencarian diterima sebagai sebahagaian daripda Undang-Undang Islam di Malaysia.
Dalam Al-Quran ada menyebut:
'Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan'.
(Surah An-Nisaa’ : 32)

Dalam ayat ini dapat kita fahami bahawa hak wanita dalam harta benda itu bergantung dari apa yang diusahakan.
Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, harta sepencarian ditakrifkan sebagai:
'Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak’.

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Piah bt. Said lwn Che Lah bin Awang (1983, Jld. 2 J.H.) harta sepencarian ditakrifkan:
'Harta yang diperolehi bersama-sama suami isteri itu hidup bersama dan berusaha, sama ada keuda-dua pasanagan itu sama-sama bekerja dalam bidanag yang sama atau dalam bidang yang berlainan dan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi sama ada dibahagikan tugas atau tidak'.

Satu contoh kes di mana sepasang suami isteri memperolehi harta semasa berkahwin kemudian mereka bercerai. Persoalan yang timbul ialah bagaimana prinsip harta itu dibahagikan. Menurut Yang Arif Datok wan Ismail bin Mohammad Salleh ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan kes Anita binti Abdullah lwqn Zainuddin bin Hj. Ariffin (1982, 4, JH 73) menyatakan:
Jika ada keterangan yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu maka hasil itu terpulang kepadanya;
Jika tidak ada keterangan yang cukup di atas usaha masing-masing, mereka dikehendaki bersumpah. Apabila bersumpah semuanya, maka harta itu dibahagikan sama banyak juga. Jika semuanya enggan bersumpah dibahagikan sama banyak juga. Jika salah seorang enggan bersumpah, maka harta itu terpulang semua kepada yang bersumpah. Jika salah seorang atau semuanya telah mati maka hukum bersumpah itu dipertanggungjawabkan ke atas waris si mati sekiranya waris itu menuntut.
Jika berlaku adat kebiasaaan bahawa salah seorang daripada suami isteri itu berusaha lebih dari yang lain, maka persetujuan pembahagian hendaklah mengikut adat kebiasaan itu. Jika persetujuan tidak didapati maka pembahagiannya adalah seperti (a) dan (b) di atas.
Menurut Ahmad Ibrahim ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan bagi kes Mansjur lwn Kamariah (1988, Jld. VI, 2 J.J.) tentang harta sepencarian menyatakan:
'Apabila timbul pertikaian mengenai kadar pembahagian harta seperncarian, jika tidak terdapat persetujuan, keputusan diserahkan kepada hakim yang menggunakan budibicaranya'. Ini bermakna hakim akan membuat keputusan sendiri berdasarkan budi bicaranya'.

Persoalan yang timbul ialah bagaimana kedudukan seseorang isteri yang hanya bertugas sebagai suri rumahtangga sepenuh masa, adakah ia berpeluang menuntut harta sepencarian? Dalam kes Boto’ binti Taha lwn Jaafar bin Muhammad (1984, 1 J.H.) telah diputuskan bahawa seorang isteri yang hanya bertugas menolong suami berhak mendapat harta sepencarian. Fakta kesnya adalah seperti berikut:
Pihak menuntut (isteri) telah menuntut harta sepencarian dari bekas suaminya separuh dari harta yang diperolehi semasa dalam perkahwinan. Harta-harta itu termasuk tanah, rumah, perahu, jala ikan dan warung ikan (gerai tempat menjual ikan). Apabila ia (isteri) berkahwin dengan pihak yang kena tuntut (suami) pihak yang menuntut telah meninggalkan kerjayanya sebagai pembantu kedai di sebuah restoren dan bertugas sebagai suri rumah di samping membantu tugas-tugas suami. Yang Arif Hakim Saleh Abas (ketika itu) ketika memutuskan kes itu menyatakan:
'Pihak menuntut (isteri) menemani pihak kena tuntut boleh dikira sebagai usahanya bersama atau sumbangannya memperolehi pendapatan yang mana telah menghasilkan harta itu. Memang betul bahawa pihak menuntut (isteri) tidak mengambil bahagian langsung dalam perniagaan ikan dengan pihak kena tuntut (suami) akan tetapi kesediaannya berdampingan dengan pihak kena tuntut adalah menghasilkan ketenangan fikiran yang membolehkannya berniaga dengan berkesan. Oleh tu adalah kenyataan perkahwinan mereka dan apa yang mereka berbuat semasa perkahwinan yang menjadikan harta itu sebagai harta sepencarian'.
Menurut Kadi Besar Pulau Pinang, Yang Arif Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Nor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978, Jld. 1, 2 J.H.) mengenai harta sepencarian:
'Harta sepencarian diluluskan oleh Syarak atas dasar khidmat dan perkongsian hidup. Isteri mengurus dan mengawal rumahtangga ketika suami keluar mencari nafkah. Isteri menurut Syarak berhak mendapat orang gaji dalam menguruskan rumahtangga. Jika tiada orang gaji maka kerja memasak, membasuh dan mengurus rumah hendaklah dianggap sebagai sebahagian dari kerja yang mengurangkan tanggungan suami'.

Ini bermakna seseorang suri rumahtangga berhak menuntut harta sepencarian dari suaminya.
vi. Tunggakan Hutang
Selain daripada itu, seseorang isteri boleh membuat tuntutan hutang ke atas bekas suaminya jika didapati bekas suaminya tidak membayar mas kahwin, tidak memberi saraan hidup ketika dalam tempoh perkahwinan, tunggakan nafkah anak dan sebagainya.
Prosedur Membuat Tuntutan Hutang
Untuk memudahkan mendapat hak-hak tersebut adalah lebih baik menggunakan peguam. Bagi mereka yang tidak mampu menggunakan khidmat peguam, bolehlah membuat permohonan kepada Biro Bantuan Guaman. Semua permohonan itu dibuat kepada Pendaftar Mahkamah Syariah.
Kesimpulan
Sebenarnya cara yang paling baik untuk menyelesaikan hak-hak itu ialah secara perundingan antara suami dan isteri. Penyelesaian secara rundingan ini menjimatkan masa, tidak menyusahkan anak-anak dan dapat menjimatkan wang. Jika tidak ada pilihan lain barulah dibawa ke Mahkamah Syariah.
Apa yang penting ialah hak-hak itu hendaklah dituntut, jika mempunyai alasan yang cukup. Terdapat kes-kes di mana sebaik sahaja berlaku perceraian si isteri menunjukkan sikap ego dan sombongnya terhadap suami. Apabila perceraian berlaku begitu lama barulah menyesal dan mulai bertungkus lumus untuk membuat tuntutan.
Islam adalah agama yang adil dan memberi hak pembelaan yang cukup kepada kaum wanita. Oleh itu tidak timbul soal Islam menindas kaum wanita. Apa yang ada ialah wanita Islam itu sendiri bersikap lemah kerana tidak menggunakan kesempatan yang luas itu untuk kepentngannya.

Lampiran ‘A’
Jika ibu hilang kelayakan maka hak jagaan anak itu berpindah mengikut tertib seperti berikut:
Nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya;
Bapa;
Nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya;
Kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
Kakak atau adik perempuan seibu;
Kakak atau adik perempuan sebapa;
Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu;
Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
Ibu saudara sebelah ibu;
Ibu saudara sebelah bapa;
Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah atau residuari.

Hukum Wanita Bekerja Dengan Keputusan Fiqh Dunia

Islam membenarkan isteri bekerja tetapi semua kebenaran tadi adalah diikat dengan syarat-syaratnya. 
Keharusan ini termasuk dalam umum ayat Allah SWT iaitu :-
للرجال نصيب مما اكتسبوا وللنساء نصيب مما اكتسبن
Ertinya : "Bagi lelaki bahagian yang ia usahakan dan bagi wanita bahagian yang ia usahakan" ( An-Nisa : 32 )
Nabi SAW pula telah menyebutkan bahawa :-
ما أكل أحد طعاما قط خيرا من أن يأكل من عمل يده
Ertinya : "Tiada seorang pun yang makan lebih baik dari orang yang makan hasil dari tangannya sendiri" ( Riwayat, Al-Bukhari, no 1966, Fath Al-bari, 4/306)
Disebut juga dalam sebuah hadith dhoif :
من بات كالاًّ من عمل يده بات مغفورًا له
Ertinya : Sesiapa yang tidur dengan keletihan dari kerja tangannya sendiri, ia tidur dalam keadaan diampunkan oleh Allah SWT" ( Riwayat Ibn 'Asakir & At-Tabrani ; Al-Haithami dalam Majma Az-Zawaid : Ramai perawinya tidak aku kenali )
Justeru, bekerja dan mencari nafqah adalah wajib bagi lelaki yang tiada sebarang keuzuran tubuh dan aqal bagi menanggung isteri dan keluarganya manakala wanita pada asasnya, hukum Islam meletakkannya untuk berperanan di rumah dan keluarga bagaimanapun wanita tidak dilarang bekerja di luar rumah jika terdapat keperluan serta mampu menepati syarat-syarat yang ditetapkan Islam. Isu ini tidak dibincangkan meluas di zaman Nabi atau sahabat kerana terlalu kurang keperluan untuk itu pada zaman tersebut ( Nizam Al-Usrah, Dr Uqlah Al-Ibrahim, 2/280)
mesejSejarah Wanita Bekerja di Zaman Nabi
Kebanyakan wanita di zaman Nabi dahulu tidak bekerja di luar rumah dan hanya bekerja di sekitar rumahnya sahaja. Cuma sebahagian waniat islam adakalanya bertugas di luar rumah sekali sekala berdasarkan keperluan.
Ummu Atiyah sebagai contoh yang bertugas menguruskan jenazah wanita Islam di Madinah, merawati lelaki yang cedera di medan peperangan disamping itu menyediakan makanan buat pejuang-pejuang Islam.
Termasuk juga adalah Rufaydah Al-Aslamiyyah, yang merupakan doktor wanita Islam pertama yang mana Nabi SAW menyediakan sebuah khemah khas di masjid Nabi untuk tujuan rawatan bagi pejuang Islam yang cedera ketika peperangan 'Khandaq'.
Demikian juga Ar-Rabaiyyi` bint Mu`awwiz and Umm Sulaim yang bertugas di luar rumah untuk memberi minuman dan makanan kepada pejuang. Ash-Shifa' binti `Abdullah pula pernah bertugas sebagai guru yang mengajar wanita-wanita islam membaca dan menulis di ketika baginda nabi Muhammad SAW masih hidup.
Umm Mihjan pula bertugas sebagai pembantu membersihkan masjid nabi sehingga ketika ia meninggal dunia, nabi tercari-carinya dan diberitahu kemudiannya, ia telah meninggal dunia. Sebagai penghormatan, baginda Nabi SAW pergi di kuburnya lalu menunaikan solat jenazah buatnya.
Selain itu, Khalifah `Umar ibn Al-Khattab juga pernah melantik wanita bernama Ash-Shifa' untuk menjalankan tugas al-hisbah atau 'Shariah auditor' di pasar di ketika itu bagi memastikan ia dijalankan menepati Shariah.
Semua ini menunjukkan keharusannya, cuma semua keharusan tadi diikat dengan syarat tertentu sebagaimana yang disebut oleh Prof. Dr Md Uqlah Al-Ibrahim antaranya ( Nizam Al-Usrah, 2/282 ; Al-Mar'ah Bayna Al-bayt Wal Mujtama', hlm 18) :-
1) Terdapat keperluan : menyebabkan ia terpaksa keluar dari tanggungjawab asalnya (iaitu peranan utama kepada rumahtangga) seperti :-
a- Kematian suami dan memerlukan belanja kehidupan.
b- Memberikan bantuan kepada dua ibu bapa yang sangat miskin atau suami yang uzur tubuhnya.
c- Membantu bisnes suami yang memerlukan banyak tenaga dan kos.
d- Mempunyai keistemewaan yang hebat sehinggakan kemahiran ini sangat diperlukan oleh masyarakat umumnya.
2) Mestilah kerja ini bersesuaian dengan fitrah seorang wanita dan kemampuan fizikalnya.
3) Mestilah keluarnya untuk bekejra dengan menutup aurat dan sentiasa menjauhi fitnah di tempat kerja.
4) Mestilah kerjanya tidak memerlukannya berdua-duanya dan bercampur baur dengan lelaki.
Sebagaimana antara dalil yang menunjukkan keperluan untuk tidak bercampur dan berasak-asak dengan kumpulan lelaki sewaktu bekerja adalah firman Allah SWT :-
وَلَمَّا وَرَدَ مَاء مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِّنَ النَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِن دُونِهِمُ امْرَأتَيْنِ تَذُودَانِ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا قَالَتَا لَا نَسْقِي حَتَّى يُصْدِرَ الرِّعَاء وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ
Ertinya : "Dan tatkala ia ( Musa a.s) sampai di sumber air negeri Mad-yan ia menjumpai di sana sekumpulan orang (lelaki) yang sedang meminumkan (ternaknya), dan ia mendapati di belakang lelaki-lelaki itu, ada dua orang wanita yang sedang memegang (ternaknya dengan terasing dari lelaki).
Musa berkata: ""Apakah maksudmu (dengan berbuat begitu)?"" Kedua wanita itu menjawab: ""Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum pengembala-pengembala itu memulangkan (ternaknya), sedang bapak kami adalah orang tua yang telah lanjut umurnya" (Al-Qasas : 24 )
5)  Mendapat izin wali atau suami.
6) Mestilah kerjayanya tidak menyebabkan terganggu dan terhentinya tanggung jawab di rumah terhadap anak serta suami. (Nazarat Fi Kitab As-Sufur, hlm 84)
7) Tujuan dan niat utama bekerja bukanlah kerana keasyikan dan keghairahan kepada mengumpul harta dan niat semata-mata menyaingi lelaki.
8)  Mestilah berhenti sekiranya terdapat keperluan dan kecatatan dalam pendidikan anak-anak.
9) Digalakkan ianya dilakukan dalam tempoh tertentu sahaja dan bukan selama-lamanya sehingga pencen. Sepatutnya berhenti sejurus suami mempunyai kemampuan menanggung seluruh keluarga dengan baik. Kecuali jika mempunyai kualiti yang amat diperlukan oleh masyarakat umum.
Sebagai panduan buat suami isteri bekerja, disertakan keputusan majlis Fiqh Sedunia tentang perkara berkaitan.
Keputusan Majlis Fiqh Sedunia dalam persidangan yang ke-16  bertempat di Dubai pada 9-14 April 2005 telah membuat ketetapan seperti berikut :-
1.       Pemisahan tanggungan harta di antara suami isteri
Isteri mempunyai kelayakan sepenuhnya dan hak harta yang tersendiri. Menurut hukum Shariah, isteri mempunyai hak penuh terhadap (harta) yang diusahakan, samada untuk menggunakannya, memiliki sesuatu, membelanjakannya sementara suami tidak punyai sebarang berkuasa ke atas harta isterinya itu. Isteri juga tidak perlu mendapat izin suami dalam pemilikan hartanya itu dan cara belanjakannya.

2.       Nafkah perkahwinan
Seorang isteri berhak menerima nafkah yang telah ditetapkan mengikut kemampuan suami bersesuaian dengan uruf yang benar juga kebiasaan masyarakat setempat yang diterima syara'. Kewajipan memberi nafkah ini tidak gugur kecuali jika berlaku nusyuz (di pihak isteri).

3.       Isteri keluar bekerja
  •  Tanggungjawab asas bagi seorang isteri ialah mengurus keluarga, mendidik anak-anak dan memberi sepenuh perhatian terhadap generasi masa depan itu. Walaubagaimanapun, di ketika perlu, isteri berhak untuk bekerja dalam bidang yang bersesuaian dengan tabiat dan kemahirannya menurut uruf yang diiktiraf syara' dengan syarat hendaklah dia beriltizam (menjaga) hukum-hukum agama.
  •  Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri yang berkerja tidak gugur menurut Islam, selagi mana tidak berlaku ketika keluarnya isteri tersebut untuk bekerja menyebabkan berlakunya isteri 'nusyuz', tatkala itu gugur kewajipan suami memberi nafkah kepada isterinya yang nusyuz.

4.       Isteri turut serta membiayai perbelanjaan keluarga
  •  Menurut pandangan Islam, dari awal mula lagi, isteri tidak wajib berkongsi peranan membiayai nafkah (perbelanjaan) yang diwajibkan ke atas suami. Suami juga tidak harus mewajibkan isteri membantunya (dengan bekerja).
  •  Kerelaan seorang isteri untuk turut berperanan membantu perbelanjaan keluarga merupakan suatu perkara dibenarkan menurut pandangan syara' demi menjayakan makna bantu membantu dan bertolak ansur di antara suami isteri.
  •  Diharuskan untuk membuat persefahaman dan persepakatan di antara suami isteri akan cara pengurusan pendapatan merkea termasuk pendapatan yang diperolehi oleh isteri.
  •  Jika keluarnya isteri bekerja memerlukan kos tambahan, maka isteri menanggung sendiri kos tersebut ( seperti pengangkutan dan lain-lain)
5.       Kerja Sebagai Syarat
  •  Seorang isteri dibenarkan untuk meletakkan syarat pada akad perkahwinannya bahawa ia hendaklah dibenarkan bekerja, apabila suami redha dengan syarat itu, ia menjadi kemestian baginya untuk membenarkan (setelah kahwin). Syarat itu hendaklah dinyatakan secara jelas ketika akad.
  •  Suami pula harus meminta isteri meninggalkan kerjayanya walaupun sebelum ini ia membenarkannya, iaitu sekiranya meninggalkan pekerjaan itu dibuat atas tujuan kepentingan keluarga dan anak-anak.
  •  Tidak harus, pada pandangan syara' bagi seorang suami untuk menjadikan keizinannya kepada isteri untuk bekerja dengan syarat isteri hendaklah membantu perbelanjaan keluarga yang diwajibkan ke atas suami; tidak harus juga suami mensyaratkan isteri memberi sebahagian daripada pendapatannya kepada suami.
  •  Suami tidak boleh memaksa isteri untuk keluar bekerja.


6.       Perkongsian isteri dalam pemilikan harta
Apabila isteri benar-benar turut menyumbang harta dan pendapatannya bagi mendapatkan dan memilki rumah, aset tetap atau sebarang projek perniagaan, ketika itu isteri mempunyai hak perkongsian pemilikan terhadap rumah atau projek tersebut mengikut kadar harta yang disumbangkannya.


7.       Penyalahgunaan hak dalam bidang pekerjaan
  •  Sebuah perkahwinan itu mempunyai beberpaa kewajiban bersama yang patut ditanggung oleh pasangan suami isteri dan ia ditentukan oleh Shariah Islam dengan jelas. Justeru hendaklah perhubungan antara suami isteri dibina adalah landasan keadilan, tolak ansur dan saling menyayangi. Sebarang tindakan yang melangkaui batasan berkenaan adalah haram pada kacamata syara'.
  •  Seorang suami tidak harus menyalahgunakan haknya sebagai suami untuk menghalang isteri bekerja atau memintanya meninggalkan kerjayanya sekiranya ia hanya bertujuan untuk memudaratkannya (isteri) atau diyakini tindakan itu hanya akan menyebabkan keburukan melebihi kepentingan yang diperolehi.
  •  Demikian juga halnya ke atas isteri (tidak harus menyalahgunakan keizinan dan hak yang diberikan), iaitu jika ia berterusan dengan kerjayanya hingga menyebabkan mudarat kepada suami dan keluarga atau melebihi maslahat yang diharapkan.  Tamat terjemahan
Kesimpulan saya
  • Fitrah wanita menuntut perhatian utama mereka untuk suami, anak dan keluarga. Dan silibus kejayaan mereka adalah dalam bidang ini.
  • Wanita dibenarkan bekerja jika keperluan yang disebutkan di atas benar-benar berlaku.
  • Walaupun wanita dibenarkan bekerja, ia tidak bererti suami boleh duduk berehat jaga anak di rumah. Sepatutnya suami perlu meningkatkan kualiti diri untuk lebih kehadapan sehingga boleh menanggung keluarga tanpa bantuan isteri.
  • Suami isteri bekerja adlaah diterima dalam Islam selagi mereka tahu dan bijak merancang pendidikan dan penjagaan anak-anak dan tidak digalakkan isteri berterusan bekerja tanpa sebab-sebab yang mendesak. Sekadar disandarkan oleh perasaan untuk lebih bermewah dan mudah membeli belah (sehingga mengadaikan masa depan anak dan keluarga) dengan menggunakan duit sendiri adalah tidak diterima oleh Islam.
  •  Menurut Syeikh Prof Dr Md 'Uqlah, tugas asasi wanita adalah amat besar iaitu sebagai penentu dan pencipta kerjaya seluruh manusia ( menurut asbab kepada hukum alam ),
  •  Komen saya : ini kerana mereka diberikan kedudukan oleh Islam untuk mencorak segala pemimpin lelaki masa akan datang iaitu dari kecil hingga besar. Malangnya mereka tidak menganggap besar dan mulianya tugasan itu sehingga mereka mencari kerjaya di luar rumah yang menghasilkan sedikit gaji yang dicintainya. Justeru, kembalilah sebagai pencipta kejayaan lelaki dan wanita dari rumah. Ia adalah silibus kejayaan wanita dalam Islam.
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
24 Ogos 2007
11 Syaaban 1428 H
Berikut adalah teks arab keputusan Kesatuan Fiqh Sedunia :-
وقد ناقش مجمع الفقه الإسلامي في دورته السادسة عشرة هذا الموضوع ، وخرج بهذا القرار:-
إن مجلس مجمع الفقه الإسلامي الدولي المنبثق عن منظمة المؤتمر الإسلامي المنعقد في دورته السادسة عشرة بدبي ( دولة الإمارات العربية المتحدة ) من 30 صفر إلى 5 ربيع الأول 1426هـ ، الموافق 9 - 14 نيسان ( أبريل ) 2005م ،
بعد اطلاعه على البحوث الواردة إلى المجمع بخصوص موضوع اختلافات الزوج والزوجة الموظفة ، وبعد استماعه إلى المناقشات التي دارت حوله ،

قرر ما يأتي :
أولاً : انفصال الذمة المالية بين الزوجين :
للزوجة الأهلية الكاملة والذمة المالية المستقلة التامة ، ولها الحق المطلق في إطار أحكام الشرع بما تكسبه من عملها ، ولها ثرواتها الخاصة ، ولها حق التملك وحق التصرف بما تملك ولا سلطان للزوج على مالها ، ولا تحتاج لإذن الزوج في التملك والتصرف بمالها .

ثانياً : النفقة الزوجية :
تستحق الزوجة النفقة الكاملة المقررة بالمعروف ، وبحسب سعة الزوج وبما يتناسب مع الأعراف الصحيحة والتقاليد الاجتماعية المقبولة شرعاً ، ولا تسقط هذه النفقة إلا بالنشوز .

ثالثاً : عمل الزوجة خارج البيت :
(1) من المسؤوليات الأساسية للزوجة رعاية الأسرة وتربية النشء والعناية بجيل المستقبل ، ويحق لها عند الحاجة أن تمارس خارج البيت الأعمال التي تتناسب مع طبيعتها واختصاصها بمقتضى الأعراف المقبولة شرعاً مع طبيعتها واختصاصها بشرط الالتزام بالأحكام الدينية ، والآداب الشرعية ، ومراعاة مسؤوليتها الأساسية .
(2) إن خروج الزوجة للعمل لا يسقط نفقتها الواجبة على الزوج المقررة شرعاً ، وفق الضوابط الشرعية ، ما لم يتحقق في ذلك الخروج معنى النشوز المُسقط للنفقة .

رابعاً : مشاركة الزوجة في نفقات الأسرة :
(1) لا يجب على الزوجة شرعاً المشاركة في النفقات الواجبة على الزوج ابتداء ، ولا يجوز إلزامها بذلك .
(2) تطوع الزوجة بالمشاركة في نفقات الأسرة أمر مندوب إليه شرعاً لما يترتب عليه من تحقيق معنى التعاون والتآزر والتآلف بين الزوجين .
(3) يجوز أن يتم تفاهم الزوجين واتفاقهما الرضائي على مصير الراتب أو الأجر الذي تكسبه الزوجة .
(4) إذا ترتب على خروج الزوجة للعمل نفقات إضافية تخصها فإنها تتحمل تلك النفقات .

خامساً : اشتراط العمل :
(1) يجوز للزوجة أن تشترط في عقد الزواج أن تعمل خارج البيت فإن رضى الزوج بذلك ألزم به ، ويكون الاشتراط عند العقد صراحة .
(2) يجوز للزوج أن يطلب من الزوجة ترك العمل بعد إذنه به إذا كان الترك في مصلحة الأسرة والأولاد .
(3) لا يجوز شرعاً ربط الإذن ( أو الاشتراط ) للزوجة بالعمل خارج البيت مقابل الاشتراك في النفقات الواجبة على الزوج ابتداء أو إعطائه جزءاً من راتبها وكسبها .
(4) ليس للزوج أن يُجبر الزوجة على العمل خارج البيت .

سادساً : اشتراك الزوجة في التملّك :
إذا أسهمت الزوجة فعلياً من مالها أو كسب عملها في تملك مسكن أو عقار أو مشروع تجاري فإن لها الحق في الاشتراك في ملكية ذلك المسكن أو المشروع بنسبة المال الذي أسهمت به .

سابعاً : إساءة استعمال الحق في مجال العمل :
(1) للزواج حقوق وواجبات متبادلة بين الزوجين ، وهي محددة شرعاً وينبغي أن تقوم العلاقة بين الزوجين على العدل والتكافل والتناصر والتراحم ، والخروج عليها تعدٍ محرم شرعاً .

(2) لا يجوز للزوج أن يسيء استعمال الحق بمنع الزوجة من العمل أو مطالبتها بتركه إذا كان بقصد الإضرار ، أو ترتب على ذلك مفسدة وضرر يربو على المصلحة المرتجاة .
ينطبق هذا على الزوجة إذا قصدت من البقاء في عملها الإضرار بالزوج أو الأسرة أو ترتب على عملها ضرر يربو على المصلحة المرتجاة منه .

Selamat Menyambut Ramadhan 1432H

Assalamualaikum kepada semua pembaca..
Hari ini, sudah masuk hari ke-4 umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan. Rasanya, masih belum terlambat untuk saya mengucapkan:
Selamat Menyambut Ramadhan 1432H
Di bulan Ramadhan yang mulia ini, sungguh ramai blogger yang mengambil kesempatan untuk menulis entri berkongsi tentang fadhilat solat tarawikh. Dan saya dapati terdapat hadis yang agak popular disebarkan berkenaan solat tarawikh.

Fadhilat Solat Tarawikh Palsu

Comel budak kecil ni solat
Saya tertarik dengan satu entri yang saya baca di blog Solihin Zubir berkenaan perkara ini.
Antara isi yang terkandung dalam hadis itu itu ialah fadhilat solat tarawikh pada malam pertama :
Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala)
Dalam entri yang ditulis Solihin Zubir , beliau menyatakan bahawa beliau telah pun bertanya kepada ahli-ahli agama tentang kesahihan hadis ini, tetapi tiada mana-mana ahli agama yang pernah tahu tentang kewujudan hadis ini.
Bila diperiksa dari buku-buku hadis, tidak wujud lansung hadis tersebut. Malahan, hadis ini juga tidak tersenarai dalam golongan hadis maudhu (hadis yang tidak sahih), ini bermakna hadis ini baru sahaja wujud. Tidak pernah dikaji kesahihannya oleh mana-mana ahli agama.
Untuk membaca lebih lanjut berkenaan isu ini, baca disini -> Solihin Zubir

Kelebihan Bulan Ramadhan

Semperna bulan Ramadhan ini, saya ingin berkongsi serba sedikit kelebihan bulan Ramadhan.
  1. Bulan Ramadhan adalah bulan keampunan. Di dalam bulan ini segala dosa akan diampunkan oleh Allah jika kita banyak berdoa dan memohon ampun kepadaNya. Setiap dari kita yang bernama manusia sudah tentu tidak terlepas dari melakukan dosa-dosa semasa hidup di dunia ini. Ambillah keberkatan yang ada pada bulan ini dan ikhlas memohon kepadaNya supaya dosa-dosa yang telah dilakukan akan diampunkan.
  2. Bulan yang ada padanya Lailatul Qadar. Lailatul Qadar adalah malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Malam yang  paling baik ini dikurniakan kepada umat islam untuk mendapatkan keampunan dari Allah dan mendapatkan pahala melalui amalan yang dilakukan pada malam tersebut. Segala amalan yang dilakukan pada malam ini akan digandakan pahala amalannya.
  3. Bulan yang padanya permulaan penurunan Al Quran. Al Quran kitab suci agama islam yang menjadi mukjizat sehingga ke hari kiamat. Al Quran adalah pembimbing kepada umat islam agar tidak tersesat dalam hidup mereka selagi mereka terus berpegang kepada kitab suci ini. Pada bulan Ramadhan ini kita sangat-sangat digalakkan untuk memperbanyakkan bacaan Al Quran untuk mendapat ganjaran pahala yang besar.
  4. Bulan pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Pinta syurga akan dibuka seluas-luasnya dan pintu neraka akan ditutup serapat-rapatnya. Ianya adalah sebagai tanda kemuliaan bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan. Syurga adalah tempat yang di idam-idamkan oleh semua orang pada hari akhirat nanti.
  5. Bulan tiada syaitan yang bermaharajalela. Pada bulan yang mulia ini syaitan-syaitan akan dibelenggu. Tiada lagi makhluk yang bernama syaitan yang akan menghasut manusia ke arah kemungkaran. Tapi manusia masih mempunyai nafsu untuk dihalang agar dijauhkan dari melakukan kemungkaran.
  6. Bulan pahala amalan dilipat gandakan. Segala amalan kebaikan pada bulan ini akan digandakan amalan kebaikan tersebut. Pada bulan ini kita sangat-sangat digalakkan memperbanyakkan amalan sunat seperti sedekah, selawat, berzikir, membaca Al Quran dan banyak lagi amalan-amalan lain. InsyaAllah segala amalan yang kita lakukan akan dilipat gandakan oleh Allah.
  7. Bulan yang agung dalam islam. Bulan Ramadhan adalah bulan yang paling mulia berbanding bulan-bulan islam yang lain. Ini kerana pada bulan ini banyak keberkatan dan rahmat Allah yang dikurniakan kepada hamba-hambanya.

Maksud Surah an-Nur, ayat 31



Maksud Surah an-Nur, ayat 31
Dan katakan kepada perempuan-perempuan yang beriman, supaya mereka menahan sebahagian penglihatan, memelihara kehormatannya dan tiada memperlihatkan perhiasannya (tubuhnya) selain daripada yang nyata (mesti terbuka daripada bahagian badannya yang sangat perlu dalam pekerjaan sehari-hari, seperti mukanya dan tapak tangan). Dan hendaklah mereka sampaikan kudungnya ke leher (tutup kepalanya sampai ke leher dan dadanya), dan tiada memperlihatkan perhiasannya (tubuhnya), kecuali kepada suaminya, bapanya, bapa suaminya, anak-anaknya, anak-anak suaminya, saudara-saudaranya, anak-anak saudara lelaki, anak-anak saudara perempuannya, sesama perempuan Islam, hamba sahaya kepunyaannya, lelaki yang menjalankan kewajibannya tetapi tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan - umpamanya pelayan-pelayan lelaki yang sudah tua dan tiada lagi mempunyai keinginan kepada perempuan) dan kanak-kanak yang belum mempunyai pengertian kepada aurat perempuan. Dan janganlah mereka pukulkan kakinya, supaya diketahui orang perhiasannya yang tersembunyi (misalnya melangkah dengan cara yang menyebabkan betisnya terbuka atau perhiasan seperti gelang/rantai kakinya nampak). Dan taubatlah kamu semuanya kepada Allah, hai orang yang beriman, supaya kamu beruntung.

Maksud surah al-Ahzab, ayat 59
Wahai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya.

Hadis riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari
Menurut Bukhari, Nabi Muhammad saw melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening.

Hadis riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban
Siapa saja wanita yang memakai wangi-wangian, kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina.

Hadis riwayat at-Thabrani
Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah.

Hadis riwayat Muslim dan Bukhari
Asma binti Abu Bakar menemui Rasulullah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasulullah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja